Dunia dahaga kerana kita lapar
Piarapakaran S | Mar 21, 2012 12:44:00 pm
Hari Air Sedunia disambut setiap 22 Mac. Ia adalah untuk memperingati kepentingan air dalam kehidupan kita dan adalah sebahagian daripada aktiviti Dekad untuk Air (Decade for Water, 2005 – 2015) oleh Petubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Tahun ini, sambutan adalah bertemakan “Air dan Jaminan Makanan” di mana ia menekankan kepentingan air untuk membekalkan makanan kepada populasi dunia yang sentiasa bertambah.
Bagaimana pula membekalkan makanan menyebabkan dunia dahaga? Jawapannya tertumpu kepada jumlah air yang kita gunakan untuk menghasilkan makanan kita.
Di mana air digunakan?
Terdapat pelbagai proses yang terlibat dalam bidang pertanian dan ia menggunakan air. Bagi perladangan, penggunaan air adalah dalam bentuk pengairan atau terus dari “hujan”. Pemprosesan produk mentah juga memerlukan banyak air. Kemudian, proses pembuatan makanan untuk menghasilkan barang separuh siap dan siap untuk pasaran tempatan dan antarabangsa juga menggunakan air. Sebagai contoh, kita menggunakan 140 liter air untuk menghasilkan 1 cawan kopi, 184 liter air untuk 1kg tomato dan 1000 liter air untuk 1 liter susu lembu.
Apabila makanan diimport atau dieksport, kita sebenarnya mengimport dan mengeksport “Water Foot print” untuk setiap produk. Water Foot print (kadar penggunaan air) adalah jumlah air yang digunakan untuk menghasilkan produk dalam kuantiti tertentu. Ini boleh diperolehi melalui proses Penilaian Kitar Hayat (Life Cycle Assessment - LCA). Pengimportan dan pengeksportan seperti ini akan menyebabkan tekanan terhadap permintaan air di negara asal.
Sebagai contoh, bijirin menggunakan banyak air melalui pengairan. Banyak Syarikat Multinasional memasarkan bijirin kepada dunia, maka permintaan bagi air untuk menghasilkan produk-produk ini akan meningkat. Ini akan menyebabkan bahagian dunia yang menghasilkan bijirin ini lebih DAHAGA. Jika makanan anda melalui perjalanan yang jauh sebelum sampai kepada anda, maka anda bukan sahaja menyebabkan peningkatan permintaan air, anda juga meningkatkan kesan alam sekitar yang lain.
Ini adalah persoalan Keuntungan untuk perniagaan melawan Bekalan makanan dan menyediakan air untuk golongan miskin.
Penanaman Tunggal (Monocrop) and Ladang Ternakan Besar
Untuk iklim hutan hujan tropika dan tropika, kawasan tadahan air kita yang terbesar adalah hutan. Amalan Monocrop memerlukan sebidang tanah yang luas dengan menanam satu jenis tanaman sahaja untuk tujuan komersil. Ini adalah salah satu faktor yang menyumbang kepada kehilangan kawasan tadahan air. Ini juga mendorong pencemaran kepada kedua-dua sumber air permukaan dan air bawah tanah akibat penggunaan bahan kimia seperti baja dan racun perosak yang tinggi. Walaupun kaedah monocrop dapat mengurangkan kos pengeluaran, kesannya terhadap alam sekitar adalah masih besar dan boleh diukur.
Pada masa yang sama, penternakan berskala besar mengenakan risiko yang besar kepada alam sekitar dan meningkatkan penggunaan air. Perusahaan ikan sangkar dan memperkenalkan spesis pendatang (alien species) kepada ekosistem tempatan secara perlahan-lahan membunuh alam sekitar. Untuk industri ternakan lembu dan khinzir, pengurusan air sisa masih di peringkat awal. Di Malaysia, dasar yang lebih berpaksikan pertanian sedang dilaksanakan. Ini akan menimbulkan tekanan serta-merta kepada sistem air kita dan kita perlu menguruskan kesan-kesannya dengan efektif.
Pengurusan Pengairan dan Saliran
Pengurusan Pengairan dan Saliran
Di Malaysia, air adalah sektor yang kuat dipolitikkan. Disebabkan ini, pengurusan air dari sumber sehingga penggunaan dan pengurusan air sisa masih bercelaru. Bagi penggunaan air di sektor pertanian, masih tiada integrasi dan pemantauan.
Penggunaan air di Malaysia boleh dibahagikan kepada sektor domestik, industri (termasuk komersil) dan pertanian yang menggunakan 17%, 21% dan 62% air masing-masing. Mengikut Malaysia Water Industry Guide 2011, sektor domestik menggunakan 2.07 billion meter padu air terawat (1 meter padu bersamaan dengan 1000 liter) pada tahun 2010. Berdasarkan ini, AWER menganggarkan penggunaan air bagi sektor pertanian adalah hampir 7.56 billion meter padu air. Ini merupakan kuantiti air yang banyak yang tidak dikawalselia secara langsung atau tidak langsung di Malaysia.
Perubahan Iklim dan Kesannya
Semua masalah yang berkaitan dengan air masih wujud dan nyata. Perubahan iklim hanya menjadikannya lebih buruk. Sejak kebelakangan ini, kita dapat memerhatikan bahawa cuaca yang melampau (extreme) telah mengurangkan hasil pertanian dan memberi kesan kepada rantaian bekalan makanan.
Perubahan iklim secara langsung memberi kesan kepada keseimbangan kitaran air. Di Malaysia, hujan adalah sumber air yang paling boleh diharapkan untuk mengisi air permukaan (sungai, tasik dan mata air) dan air bawah tanah. Kemarau yang berlaku beberapa tahun yang lepas telah membuktikan bahawa sumber air bawah tanah paling teruk terjejas. Ini hanya membuktikan bahawa kita perlu menguruskan sumber air permukaan dan meminimumkan kesan penggunaan air bagi aktiviti pertanian (yang hampir 62%) kepada kegawatan air.
Jika keadaan ini berterusan dan menjadi lebih teruk, kita akan sampai ke persimpangan di mana kita perlu membuat keputusan antara menyediakan air untuk bekalan minuman atau menyediakan makanan.
Apa yang kita patut lakukan?
Pengurangan atau pengoptimuman penggunaan air untuk proses tertentu untuk industri (berkaitan dengan aktiviti pertanian) dan sektor pertanian perlu dilaksanakan. Ini boleh diukur secara berkesan melalui kadar penggunaan air atau lebih dikenali sebagai water footprint. Untuk aktiviti pertanian yang menggunakan pengairan, “pengairan yang berkesan” mesti dipraktikkan. Menyiram air secara berlebihan untuk membasahkan seluruh tanah tidak semestinya dapat menghasilkan hasil tanaman yang lebih tinggi. Kajian telah membuktikan bahawa, membasahkan kawasan akar melalui “kaedah titisan” telah mengurangkan penggunaan air dengan ketara dan dapat meningkatkan hasil tanaman. Revolusi dalam aktiviti pertanian adalah satu kemestian.
Pelepasan air sisa daripada aktiviti pertanian berskala kecil dan besar mesti dipantau dan dikawalselia. Peningkatan dalam aktiviti pertanian hanya akan meningkatkan pencemaran dan seterusnya mencemarkan kedua-dua sumber air permukaan dan air bawah tanah. Ini akan menyebabkan peningkatan kos rawatan air untuk minum dan dalam sesetengah kes, ia akan memusnahkan sumber air selamanya. Pada masa ini, Jabatan Alam Sekitar sedang membangunkan peraturan-peraturan baru untuk memantau aktiviti ternakan haiwan. Peraturan ini adalah penting untuk memastikan pencemaran dipantau dan meningkatkan taraf operasi perladangan di Malaysia.
Penggunaan semula air sisa adalah satu mekanisme yang baik yang boleh dilaksanakan juga. Pengeluaran air yang dikitar semula dan baja semulajadi akan mengurangkan kos pengurusan air sisa untuk aktiviti pertanian dengan berkesan. Ini juga bermakna agensi-agensi yang terlibat perlu mengkaji semula dasar-dasar dan pelaksanaan yang sedia ada untuk menyediakan satu rangka kerja dasar yang bersepadu supaya dapat melindungi sistem air kita.
Akhir sekali, setiap kali anda buang makanan atau membazirnya, ingat bahawa anda membuang beratus-ratus liter air juga. Beli dan makan apa yang anda perlukan sahaja. Amalkan amalan ini untuk mencegah pembaziran sumber di dunia. Ini adalah satu-satunya planet kita ada untuk hidup, tetapi kini dunia DAHAGA kerana kita LAPAR.AIR ADALAH KEHIDUPAN!