Elemen-Elemen Perlu Bagi Dasar Keselamatan Makanan dan Kesimpulan
Ditulis Oleh  Zamanhuri Umordin Monday, 11 July 2011 12:02
- Pengukuhan sistem keselamatan makanan memerlukan      pembangunan kapasiti yang agak besar termasuk infrastruktur. Malangnya      pembangunan dan pengukuhan infrastruktur di kalangan agensi-agensi yang      bertanggungjawab ke atas keselamatan makanan kini berada di tahap yang      berbeza-beza. Pembangunan kapasiti bagi keselamatan makanan memerlukan      pengukuhan infrastruktur berterusan dan diorientasikan semula secara      berkala, sejajar dengan kemunculan isu-isu baru berkaitan keselamatan makanan,      perkembangan sains dan teknologi, pergolakan antarabangsa, perundangan dan      krisis makanan.
Perundangan Keselamatan Makanan
- Perundangan keselamatan makanan yang kukuh dan kemaskini di      setiap peringkat rantaian makanan merupakan keperluan utama bagi mewujudkan      sistem keselamatan makanan yang berkesan. Tanggungjawab bagi mewujudkan      perundangan tersebut perlu dilakukan oleh sekumpulan pakar yang mahir      dalam perundangan makanan dan keperluan standard makanan, dengan mengambil      kira antara lain :-
- Kehendak-kehendak khusus pengguna dan pengeluar makanan;         
- Fleksibiliti untuk menangani perkembangan bidang       teknologi, kemunculan bencana, perubahan kehendak pengguna dan keperluan       baru dalam perdagangan;
- Mengharmonisasikan standard-standard makanan kebangsaan,       garispanduan dan kod-kod amali dengan standard-standard antarabangsa       sebagaimana yang diterimapakai oleh Codex Alimentarius Commission dan       serantau bagi mempermudahkan perdagangan;
- Lain-lain obligasi seperti di bawah Perjanjian WTO       mengenai SPS dan TBT serta Asean Free Trade Area (AFTA);       dan
- Tabiat sosial, agama dan budaya.
- Perhatian juga perlu ditumpukan kepada bahagian-bahagian      kritikal di dalam rantaian makanan yang tidak dilindungi oleh      undang-undang dan standard semasa.
- Keberkesanan penguatkuasaan perundangan adalah bergantung      kepada bilangan kakitangan yang mencukupi dan terlatih bagi menjalankan      pemeriksaan dan penguatkuasaan.
Makmal Makanan
- Bilangan makmal makanan yang mencukupi, lengkap dan      dikendalikan oleh juruanalisis terlatih dengan menggunakan kaedah analisa      yang diiktiraf diperlukan untuk menyokong aktiviti-aktiviti pengawasan,      pematuhan dan penguatkuasaan. Kualiti perkhidmatan makmal perlu      berteraskan sistem jaminan kualiti yang memenuhi standard antarabangsa.      Kesesuaian mengoptimakan sumber yang terdapat di kalangan semua agensi      berkaitan dipertimbangkan.
Teknologi Informasi Dan Komunikasi (ICT)
- Pengurusan data yang sempurna diperlukan bagi perancangan,      pelaksanaan dan pengawasan program keselamatan makanan. ICT sewajarnya      digunapakai bagi mempermudahkan aliran maklumat dan jaringan kerja supaya      lebih tepat, berkaitan dan pantas.
 Keselamatan Makanan Di Sepanjang Rantaian Makanan
- Keselamatan makanan perlu ditumpukan di sepanjang rantaian      makanan dari peringkat pengeluaran, pemprosesan, penyimpanan dan      pengedaran, di mana setiap rangkaian dalam rantaian makanan perlu sama      kukuh dengan yang lain sekiranya kesihatan pengguna hendak dilindungi      sepenuhnya. Ini memerlukan kerjasama yang erat di antara semua agensi yang      terlibat di sepanjang rantaian makanan, yang perlu dibekalkan dengan kuasa      dan tanggungjawab yang jelas, mekanisma bagi kerjasama  dan      cara-cara  untuk menangani cabaran semasa dan isu-isu baru.      Sumber-sumber seperti tenaga manusia dan kewangan perlu diperuntukkan dan      diselaraskan penggunaannya bagi mencapai hasil yang optima.
 Pengumpulan Maklumat Saintifik Dan Penganalisaan
- Pengumpulan maklumat dan penganalisaan data saintifik      adalah elemen penting khususnya bagi mengenalpasti dan menilai kemungkinan      berlakunya sesuatu ancaman terhadap keselamatan makanan dan makanan      ternakan.
- Terdapat pelbagai kaedah dan petunjuk bagi mengenalpasti      masalah berkaitan keselamatan makanan. Ini termasuk data pengawasan di      sepanjang rantaian makanan, pemantauan penyakit, penyelidikan dan      penyiasatan epidemiologi. Penganalisaan yang tepat akan memudahkan kajian      evolusi ancaman sedia ada dan menjangka/mengenalpasti ancaman baru.      Kesemuanya ini merupakan asas bagi langkah-langkah kawalan.
- Langkah-langkah yang diambil bagi memastikan keselamatan      makanan perlu berasaskan prinsip saintifik, walaupun terdapat batasan bagi      sains. Ini memandangkan sains dan pengetahuan terkini akan terus      berkembang, manakala bukti saintifik yang diperlukan mungkin tidak      diperolehi pada masa yang tertentu untuk menyokong langkah-langkah      keselamatan makanan yang perlu diambil. Dalam keadaan ini, demi      keselamatan makanan, langkah-langkah sementara yang sesuai dan berpatutan      untuk satu jangkamasa yang munasabah perlu diambil sehingga maklumat      saintifik yang mencukupi diperolehi. Oleh itu, pengurusan risiko (risk      management) adalah tidak statik malahan ia sentiasa berevolusi      bila mana terdapat data saintifik tambahan.
- Perlu diingatkan walaupun langkah-langkah pencegahan      awal (provisional measures) boleh menyebabkan halangan      atau sekatan perdagangan secara sementara tetapi ia tidak boleh dianggap      sebagai satu perlindungan (protectionism). Malahan ia seharusnya      merupakan satu langkah penguatkuasaan sementara untuk melindungi kesihatan      pengguna dan langkah-langkah ini akan dikaji semula dengan terdapatnya      data-data saintifik.
- Maklumat saintifik yang menyakinkan merupakan tunggak utama      bagi memastikan keselamatan makanan. Dengan itu, satu perancangan yang      strategik perlu diperkukuhkan bagi mengumpul dan menganalisa maklumat      saintifik mengenai keselamatan makanan di sepanjang rantaian makanan.      Teknologi maklumat diutamakan bagi membolehkan aliran maklumat yang      berkaitan, tepat dan pantas. Perancangan strategik yang dimaksudkan perlu      merangkumi :-             
- Pengawasan Dan Pemantauan
Satu-satu program pengawasan dan pemantauan dapat menjanakan data yang tepat mengenai tahap dan trend pencemaran makanan sebagai asas bagi menggubal peraturan dan langkah-langkah pencegahan. Ia juga dapat memperkukuhkan kedudukan Malaysia di pasaran antarabangsa dengan menjamin keselamatan makanan yang diimport dan dieksport.
Pengawasan dan pemantauan keselamatan makanan kebangsaan perlu diperkukuhkan bagi mempermudahkan perkara-perkara berikut: -
·          
o     
- Menentukan tahap pencemaran makanan kebangsaan  dan        risikonya kepada kesihatan awam;
- Mengenalpasti makanan dan makanan ternakan yang mungkin        tercemar serta punca pencemaran tersebut;
- Mengenalpasti keperluan kawalan pengeluaran dan        pemprosesan di kalangan pihak yang berkepentingan serta memberikan        panduan, sekiranya perlu;
- Mendorong kerjasama antara agensi-agensi kerajaan yang        bertanggungjawab dalam aspek kesihatan, pertanian, persekitaran dan        perdagangan, termasuk pihak pekilang dan pemproses makanan;
- Menyediakan data pengawasan dan pemantauan bagi menilai        keberkesanan peraturan-peraturan yang sedia ada;
- Mempertingkatkan kemasukkan ke pasaran antarabangsa        dengan memastikan keselamatan makanan yang dieksport;
- Menghalang kemasukkan makanan yang tidak selamat; dan
- Menasihati badan-badan lain yang menjalankan pengawasan        dan pemantauan makanan.
·          
- Penyelidikan
Isu dan masalah berkaitan keselamatan makanan semakin mencabar dan kompleks, di mana maklumat berasaskan sains terutama yang diperolehi melalui penyelidikan atau kajian merupakan komponen yang penting bagi menyokong pembentukan dasar keselamatan makanan.
Di peringkat antarabangsa, penghayatan sains khususnya dalam pembangunan standard makanan berasaskan fakta saintifik telah memberikan tekanan yang hebat kepada perdagangan makanan negara di pasaran antarabangsa.
Dalam konteks ini, pewujudan budaya penyelidikan dan persekitaran yang sesuai (conducive environment) perlu bagi meningkatkan kebolehan dan keupayaan dalam bidang penyelidikan. Program perlu dibentuk dengan mempunyai objektif menuju ke arah kecemerlangan saintifik (scientific excellence) dan menyumbangkan kepada asas-asas saintifik dalam penggubalan dasar, peraturan dan standard makanan. Ini memerlukan peruntukan kewangan, kepakaran dan sumber manusia yang mencukupi.
Agensi yang berkaitan perlu mengenalpasti bidang yang sama tetapi terdapat jurang pengetahuan bagi membolehkan kajian/penyelidikan dijalankan secara usahasama. Ini akan dapat mengurangkan pertindihan dan mengoptimakan sumber-sumber bagi manfaat bersama. Ia juga akan dapat membangunkan satu mekanisma dan rangka kerja yang tersusun dalam menggunakan kepakaran bagi menampung kelemahan yang terdapat dalam program keselamatan makanan sedia ada di kalangan pelbagai agensi. Ia juga dapat menggalakkan pembangunan keupayaan dan kebolehan secara komplimentari. Kajian perlu memberi penekanan ke atas kaedah yang lebih selamat bagi pengeluaran dan pengedaran, kaedah-kaedah baru penilaian pencemaran, risiko-risiko kimia serta pendedahan daripadanya.
·          
- Kerjasama Saintifik Dan Rangkaiankerja
Langkah pertama dalam menggembelingkan usaha-usaha saintifik adalah dengan mewujudkan saluran komunikasi yang jelas di antara agensi-agensi yang berminat dalam kerjasama saintifik dan bantuan teknikal. Hubungan ini boleh diwujudkan dalam bentuk mesyuarat yang kerap antara agensi berkaitan, menyediakan inventori bagi kerjasama saintifik atau bantuan teknikal yang diperlukan/diberikan, menyediakan satu senarai pakar dan pusat rujukan dalam pelbagai bidang, pengumpulan bahan-bahan rujukan dan sebagainya. Pewujudan dan penyelenggaraan pengkalan data akan membantu mengurangkan pertindihan dan duplikasi dalam kerjasama saintifik.
Selain daripada itu, penilaian keperluan perlu dilaksanakan bagi memberi maklumat mengenai keperluan tertentu bagi merangka satu pendekatan yang sejajar dan bersepadu mengikut keutamaan.
Pendekatan ini akan mempermudahkan penubuhan satu rangkaian pusat kecermelangan dan ini membolehkan Malaysia mendapatkan khidmat kepakaran saintifik terbaik dalam semua disiplin berkaitan, di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
- Pengesanan produk merupakan elemen penting bagi menjamin      keselamatan makanan. Apabila terdapat ancaman daripada makanan yang boleh      menggugat kesihatan awam, pegawai berkuasa perlu berupaya mengenalpasti      makanan yang terlibat dan menarik balik produk terbabit dengan pantas.      Pegawai berkuasa dan pengusaha makanan perlu mempunyai maklumat yang tepat      untuk mengenalpasti punca ancaman berkenaan dan mengambil tindakan      pembetulan.
- Oleh itu pembentukan satu sistem yang menyeluruh diperlukan      bagi mengesan produk makanan, makanan ternakan, haiwan ternakan, hasil      tanaman, ikan dan lain-lain bahan yang akan digunakan dalam makanan atau      makanan ternakan di semua peringkat rantaian makanan.
- Pengusaha makanan dan makanan ternakan termasuk pengimport      perlu mengenalpasti pembekal atau punca makanan, makanan ternakan, haiwan      ternakan, hasil tanaman, ikan dan lain-lain bahan yang digunakan di dalam      makanan. Maklumat ini akan menjamin pengesanan produk di semua peringkat      rantaian makanan supaya penarikkan balik produk yang bermasalah dapat      disegerakan. Melalui pendekatan yang mensasarkan produk yang berisiko ini,      pendedahan risiko kepada pengguna, gangguan kepada perdagangan makanan dan      impak ke atas ekonomi dapat dikurangkan.
- Walaupun pelbagai pemeriksaan dijalankan oleh agensi      berkaitan, kejadian krisis keselamatan makanan masih boleh berlaku.      Langkah berjaga-jaga yang perlu diambil merupakan pendekatan penting bagi      meminimakan kemunculan bahaya berkaitan makanan. Bagi menghindarkan bahaya      kepada pengguna, maklumat yang tepat dan cepat perlu diperolehi bagi      membolehkan pihak berkuasa menilai risiko untuk melaksanakan      langkah-langkah yang sesuai.
- Mekanisma amaran pantas (rapid alert) yang      seragam perlu diwujudkan dalam menjangka kemungkinan dan menangani ancaman      risiko keselamatan makanan yang dikenalpasti oleh agensi      berkenaan atau pihak swasta sebagai amaran awal dalam melindungi kesihatan      pengguna.
- Ini boleh dilaksanakan melalui penubuhan pusat perhubungan      bagi memperolehi dan menyebarkan maklumat secara pantas mengenai      penolakkan, kejadian wabak atau amaran (alert) berkaitan makanan.      Prosedur bagi pengurusan krisis makanan perlu diperkukuh bagi membolehkan      usaha penyelarasan dipertingkatkan dan untuk mengenalpasti langkah paling      berkesan yang boleh diambil berdasarkan maklumat saintifik.
Sistem Pengurusan Jaminan Keselamatan Makanan
- Kerajaan perlu memain peranan utama dalam menerajui      pelaksanaan program jaminan keselamatan makanan. Ini termasuk penyediaan      keperluan latihan di lapangan untuk memberi khidmat nasihat kepada sektor      makanan serta menggalakkan perkongsian dan kerjasama dengan kumpulan yang      berminat.
- Sektor makanan di semua peringkat pengeluaran, pemprosesan,      pengedaran dan penjualan perlu disedarkan bahawa mereka bertanggungjawab      bagi pengendalian makanan yang selamat dan dengan itu perlu mewujudkan      program jaminan keselamatan makanan yang berkesan.
- Sektor makanan perlu komited untuk menyediakan sumber dan      latihan yang mencukupi sebagai komponen penting untuk menyokong      keselamatan makanan. Sistem jaminan keselamatan makanan      perlu memberi penekanan kepada amalan pertanian yang baik (GAP), amalan      penternakan haiwan yang baik (GAHP), amalan pekilangan yang baik (GMP),      amalan aquakultur yang baik (GAqP) dan melaksanakan Hazard      Analysis and Critical Control Point (HACCP).
- Bagi kerajaan memainkan peranan ini dengan sempurna,      latihan yang selari diperlukan bagi pegawai-pegawai kerajaan yang akan      menjalankan pemeriksaan dan pengauditan sistem tersebut.
- Garispanduan perlu diwujudkan bagi menggalakkan pemahaman      yang sama mengenai sistem berkenaan. Ini termasuk garispanduan amalan      pertanian yang baik, yang merangkumi pemilihan tapak yang bersesuaian,      pewujudan kawalan amalan pengeluaran, penggunaan racun perosak dan dadah      veterinar di peringkat ladang, dan pencegahan pencemaran hasil pertanian      dan ikan melalui air atau alam sekitar.  
Pendidikan Keselamatan Makanan
- Program pendidikan keselamatan makanan merupakan aspek yang      kritikal dalam membentuk strategi bagi mencegah atau mengurangkan kejadian      penyakit bawaan makanan. Kerjasama antara pihak kerajaan dan badan-badan      bukan kerajaan termasuk persatuan pengguna amat penting dalam menjayakan      sesuatu program.
- Melalui usahasama ini, mesej-mesej utama pendidikan      kesihatan dapat dimantapkan untuk meningkatkan lagi keberkesanan      kempen-kempen berkenaan di mana penghebahan mesej yang bertepatan dan      bersesuaian dapat dimanfaatkan oleh pengguna. Kerjasama dalam pendidikan      perlu memberi penekanan pada komponen-komponen berikut:
- Perkongsian maklumat
Tanggungjawab bagi mendidik orang ramai mengenai keselamatan makanan dan penyakit bawaan makanan perlu dipikul oleh semua agensi berkaitan. Dengan itu, usahasama perlu diwujudkan termasuk membentuk inisiatif bersama dan pengkongsian maklumat.
-  Mesej yang konsisten
Penyampaian mesej daripada pelbagai agensi kepada orang ramai perlu selaras dan konsisten bagi mengelakkan kekeliruan.
-  Berasaskan penyelidikan
Pendekatan pendidikan perlu berasaskan kajian mengenai persepsi dan tingkahlaku orang ramai.
- Pengguna berisiko  tinggi sebagai sasaran
Sains telah menunjukkan bahawa terdapat sesetengah pengguna yang boleh mengalami penyakit bawaan makanan dengan lebih serius. Oleh itu, program pendidikan yang diusahakan perlu memberi tumpuan khas kepada pengguna yang berisiko tinggi.
- Kerjasama dengan pihak media
Menyedari bahawa suratkhabar, radio dan televisyen merupakan di antara alat pendidikan yang berkesan, kerjasama dengan pihak media merupakan strategi penting bagi memastikan pihak media mempunyai maklumat yang tepat di samping menggalakkan wakil-wakil media untuk menyampaikan mesej-mesej kesihatan.
- Pendidikan dan latihan
Usaha-usaha pendidikan dan latihan perlu ditujukan bukan sahaja kepada pengguna, tetapi juga kepada pihak yang bersesuaian termasuk pengendali makanan, ahli-ahli profesional kesihatan, ahli-ahli politik, pegawai Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan, guru-guru dan lain-lain.
- Pendidikan dari peringkat awal
Bagi mendapatkan impak berkekalan dalam inisiatif keselamatan makanan, subjek-subjek mengenai keselamatan makanan perlu diberi penekanan bermula dari rumah dan diterapkan ke dalam kurikulum sekolah, taman bimbingan dan lain-lain. 
- Berasaskan komponen-komponen di atas, program pendidikan      perlu disokong dengan:-
- Kempen-kempen kesedaran keselamatan makanan yang       menyeluruh kepada semua lapisan masyarakat dengan maklumat yang       disesuaikan, saluran perhubungan dan pendekatan yang disesuaikan mengikut       sasaran yang berbeza terutama kepada pengguna yang berisiko tinggi       melalui media penyiaran, dalam pelbagai bahasa bagi memastikan liputan       yang meluas.
- Penyediaan bahan-bahan pendidikan keselamatan makanan yang       berkesan bagi memenuhi keperluan kumpulan sasaran yang berbeza dari segi       budaya, bahasa, cara makan serta cara penyediaan makanan.
Keselamatan Makanan Import dan Eksport
Makanan Import
Dengan peningkatan pengimportan makanan, strategi dalam kawalan makanan import perlu diperkukuhkan.
- Pengimportan makanan daripada syarikat yang dikenalpasti       mematuhi peraturan-peraturan negara dibenarkan.
- Penyertaan sijil kesihatan dan keputusan ujian daripada       pihak berkuasa yang berwibawa dari negara pengeksport mengikut keadaan       tertentu diperlukan.
- Pemantauan melalui pensampelan dan ujian bagi makanan       import di pintu-pintu masuk dipertingkatkan.
- Penggunaan IT dalam penguatkuasaan dimantapkan.
- Standard tempatan diharmonisasikan dengan standard       antarabangsa seperti Codex bagi mempermudahkan pengimportan
Makanan Eksport
- Malaysia merupakan negara pengeksport utama makanan, sedang      berhasrat untuk menjadi pusat makanan halal (Halal Food Hub). Bagi      mencapai objektif tersebut dan untuk berhadapan dengan persaingan yang      semakin hebat di kalangan negara-negara pengeksport lain dan juga untuk      memaksimakan pertukaran asing, Malaysia perlu memastikan produk yang      dieksport menepati standard keselamatan negara pengimport atau menjadikan      standard Codex sebagai rujukan. 
- Penyelarasan di antara pegawai berkuasa yang berkaitan      diperlukan untuk memastikan proses kelulusan, termasuk pengeluaran sijil      kepada pengeksport, dilakukan dengan cara yang pantas dan telus bagi      mempermudahkan pengeksportan makanan.
- Pengalaman telah menunjukkan penolakkan atau penahanan      eksport makanan boleh menjejaskan ekonomi negara dan reputasi      kerajaan/industri. Maklumat mengenai makanan yang telah ditahan atau      ditolak di pintu masuk perlu diperolehi sebanyak mana yang boleh untuk      memudahkan agensi yang bertanggungjawab mengambil tindakan susulan yang      pantas serta bagi memulihkan perdagangan.
- Pemahaman yang mendalam di kalangan pengeksport mengenai      langkah-langkah dan peraturan-peraturan mengenai keselamatan makanan yang      dikuatkuasakan di negara pengimport akan diperlukan bagi melicinkan      perdagangan.
- Agensi berkaitan perlu mewujudkan persetujuan pelbagai hala      bagi memudahkan perdagangan.
 Makanan Novel Dan Makanan Yang Terhasil Dari Teknologi Moden
- Innovasi daripada teknologi-teknologi baru digalakkan bagi      meningkatkan produktiviti pengeluaran makanan, seperti kejuruteraan      genetik (genetic engineering), irradiasi makanan dan      pembungkusan atmosfera diubahsuai; dicipta bagi meningkatkan pengeluaran      pertanian, memanjangkan tempoh hayat serta meningkatkan kualiti makanan.      Namun demikian keselamatan bagi makanan yang dihasilkan melalui teknologi      moden masih boleh dipertikaikan.
-  Sementara itu, perkembangan dan percambahan ilmu      pengetahuan yang berhubungkait dengan diet, pemakanan dan kesan jangka      panjang makanan ke atas kesihatan telah mempengaruhi pengguna dalam      membuat pemilihan makanan.  Dengan itu, peluang ini dieksploitasikan      oleh pengeluar makanan untuk mencipta produk baru dan mempromosikannya      mengikut citarasa dan kecenderungan pengguna seperti mengadakan akuan      pemakanan, akuan kesihatan dan mencipta food-drug interphase.
- Menyedari hakikat ini, satu rangkakerja perlu dibentuk bagi:
 
- Mewujudkan dasar dan panduan bagi pengeluaran makanan       novel dan yang terhasil daripada teknologi baru; dan
- Menilai kesan teknologi baru terhadap keselamatan makanan
Penglibatan Di Arena Antarabangsa
- Sebagai ahli WTO, negara perlu memenuhi perjanjian WTO      terutama SPS dan TBT dimana standard Codex dan teks-teks yang berkaitan      merupakan penanda aras bagi perdagangan makanan antarabangsa. Penglibatan      dalam arena Codex merupakan satu cabaran kepada negara kerana ia      memerlukan kepakaran, kewangan yang besar dan komitmen yang jitu.
- Bagi melindungi kepentingan negara, pencapaian kata sepakat      di arena antarabangsa di kalangan negara ahli khususnya bagi rantau ini ke      atas isu-isu yang mempunyai kepentingan bersama perlu diusahakan. Ini akan      memastikan kepentingan negara diambilkira dalam pembangunan standard      sejagat tanpa mewujudkan halangan yang tidak munasabah atau bersifat      diskriminasi kepada eksport makanan negara.
- Semua agensi berkaitan perlu mempertingkatkan penglibatan      dalam aktiviti badan-badan antarabangsa seperti Codex, WTO yang      bertanggungjawab untuk membangunkan standard, garispanduan dan cadangan      berkaitan keselamatan dan kualiti makanan sejagat.
- Kepakaran, kemahiran dan pengalaman yang ada di Malaysia      seharusnya diperluaskan dalam bentuk sumbangan kepada negara-negara      membangun. Ini akan menaikkan kedudukan Malaysia sebagai pusat      kecemerlangan bagi keselamatan makanan di rantau ini.
KESIMPULAN 
1.      Pelaksanaan dasar keselamatan makanan kebangsaan akan membolehkan inisiatif–inisiatif untuk mencapai keselamatan makanan dirancang dan diurus dengan cara yang lebih mampan, bersepadu, dan berkesan bagi menjamin kesihatan awam dan memudahkan perdagangan makanan.
2.     Kejayaan pelaksanaan dasar keselamatan makanan kebangsaan amat bergantung kepada penggembelingan tenaga, komitmen, kerjasama dan usahasama yang jitu di kalangan semua pihak yang berkepentingan (stakeholders). Perhubungan antara agensi perlu diwujudkan bagi mencapai manfaat bersama untuk mengelakkan jurang perbezaan penguatkuasaan, perbatasan dan kelemahan-kelemahan. Pembentukkan perikatan strategik atau perkongsian pintar akan memastikan kejayaan semua pihak melalui pengoptimaan sumber serta penyelarasan program keselamatan makanan yang lebih berkesan.
Sumber :http://fsq.moh.gov.my








