TUNTUTAN mendapatkan makanan halal menjadi
perkara penting bagi setiap Muslim. Ini kerana ia adalah perintah daripada
Allah melalui rasul-Nya. Pemakanan halal adalah di antara ciri utama dalam
pembentukan fizikal sihat, khususnya bagi perkembangan minda serta hati
manusia.
Pengetahuan tepat serta menyeluruh mengenai
kaedah penyembelihan yang mengikut lunas syariat amat penting kerana ia berkait
rapat dengan faktor kesihatan.
Tambahan lagi, konsep sembelihan dalam Islam
atau ‘zabiha’ juga perlu
dihuraikan sebaik mungkin agar ibadat ini tidak dilihat sebagai satu perbuatan
menyeksa haiwan secara kejam dan perlahan, berdasarkan pandangan masyarakat
bukan Islam yang melihatnya hampir setiap tahun menjelang Aidiladha.
Islam meletakkan garis panduan dalam
penyembelihan haiwan. Buku bertajuk Halal dan Haram dalam Islam Oleh Syeikh
Muhammad Yusuf Qardhawi menghuraikan kaedah dan syarat penyembelihan
berdasarkan al-Quran dan sunnah. Penyembelihan harus menggunakan objek tajam.Kaedah ini untuk meminimumkan
kesakitan haiwan ketika disembelih.
Sabda Nabi saw bermaksud: “Sesungguhnya Allah mewajibkan untuk berbuat
baik kepada sesuatu. Oleh itu jika kamu membunuh, maka perbaikilah cara
membunuhnya, dan apabila kamu menyembelih maka perbaikilah cara menyembelihnya
dan tajamkanlah pisaunya serta mudahkanlah penyembelihannya itu” (Hadis
riwayat Muslim).
Penyembelihan harus dilakukan pada leher haiwan itu, iaitu pada bahagian urat nadi atau kerongkongnya. Setiap
penyembelihan perlu dimulakan dengan Bismillah.
Firman Allah bermaksud: “Maka makanlah haiwan
(yang halal) yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya, jika kamu beriman
kepada ayat-ayatnya” (Surah al-An’aam, ayat 118).
Fakta saintifik membuktikan bagi setiap
penyembelihan, darah haiwan itu perlu dialir keluar. Ini kerana darah adalah
medium terbaik bagi mikro organisma membiak. Bahagian ‘spinal cord’ hendaklah
dielakkan daripada terpotong ketika sembelihan dilakukan kerana ia akan
menyekat aliran darah keluar akibat daripada saluran darah terganggu kesan
daripada jantung haiwan terhenti secara tiba-tiba.
Dr Zakir Naik, seorang doktor dan pendakwah
Islam antarabangsa menyenaraikan kepentingan serta kebaikan penyembelihan
mengikut hukum syarak. Kaedah penyembelihan Islam adalah terbaik dan bersih. Ini kerana darah yang menjadi punca pembiakan
kuman, bakteria dan toksin yang akan menyebabkan beberapa penyakit
dikeluarkan sejurus selepas proses penyembelihan. Selain itu, daging sembelihan
kekal segar dalam satu tempoh yang lama.
Kaedah penyembelihan Islam juga tidak menyebabkan kesakitan kepada haiwan itu. Ini kerana saluran darah serta saraf yang
menghubungkan ke otak yang boleh menyebabkan rasa sakit terputus. Maka
keadaan di mana haiwan bertindak balas secara tiba-tiba dalam keadaan agresif
bukan kerana kesakitan, tetapi kesan tindak balas otot yang berlaku apabila
darah mengalir keluar.
Profesor Schultz dan rakannya Dr Hazim dari
Universiti Hanover, Jerman, membuktikan melalui eksperimen dengan menggunakan
alatan saintifik seperti Electroencephalograph (EEG) dan Electrocardiogram
(ECG) menunjukkan kaedah sembelihan Islam adalah terbaik. Tiga saat pertama selepas kaedah
sembelihan cara Islam dilakukan, EEG tidak menunjukkan sebarang perubahan graf.
Ini menunjukkan haiwan itu tidak mengalami sebarang kesakitan secara tiba-tiba
selepas penyembelihan. Kemudian, selepas tiga saat yang seterusnya, EEG
merekodkan keadaan yang dinamakan sebagai ‘deep sleep’ di mana, haiwan mengalami keadaan tidak sedarkan diri kesan daripada darah yang
mengalir keluar dari tubuh haiwan itu. Akhir sekali, EEG pada paras 0
menunjukkan tiada tanda-tanda kesakitan selepas enam saat eksperimen dilakukan.
Kaedah ujian saintifik hari ini membuktikan kaedah penyembelihan Islam adalah
terbaik.
Seterusnya menunjukkan Islam amat
mementingkan kebersihan serta kesihatan. Pemilihan pemakanan yang halal penting
dalam memastikan tahap kesihatan sentiasa berada di tahap yang memuaskan agar
memperoleh tenaga yang secukupnya untuk beribadat. Oleh itu, Muslim perlu
menilai dan meneliti sumber pemakanannya agar datang dari sumber yang halal
bukan meragukan.
POSTED BY MIN ABNAU'L JAA'FARIEY AT 5:20 PM
No comments:
Post a Comment