Monday, 14 May 2012

Keselamatan Makanan dan Pemakanan

Mesyuarat Majlis Keselamatan Makanan dan Pemakanan Kebangsaan Ke 9 

KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA 

KENYATAAN AKHBAR 

MENTERI KESIHATAN MALAYSIA 



Mesyuarat Majlis Keselamatan Makanan dan Pemakanan Kebangsaan ke 9 telah berlangsung dengan jayanya pada 8 Disember 2010. Majlis yang dianggotai oleh 48 ahli dari pelbagai agensi kerajaan, agensi bukan kerajaan (NGOs) dan persatuan telah membincangkan pelbagai isu keselamatan makanan negara. 

Di antara pencapaian penting yang telah dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) telah dinaiktaraf kepada sebuah Program berkuatkuasa pada 1 Julai 2010 selaras dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri. Ini merupakan komitmen kerajaan di peringkat tertinggi dalam memastikan aspek keselamatan makanan rakyat adalah terjamin di samping meningkatkan keyakinan negara pengimport yang produk makanan dari Malaysia adalah selamat dan berkualiti. Jemaah Menteri juga telah bersetuju BKKM sebagai agensi tunggal yang bertanggungjawab ke atas keselamatan makanan negara dalam memastikan keselamatan makanan terjamin sepenuhnya serta menjaga reputasi negara di peringkat antarabangsa. 

Pelan Tindakan Keselamatan Makanan Kebangsaan 2010-2020 sedang dilaksanakan oleh semua stakeholders termasuk NGOs. Secara umum, objektif am pelan tindakan ini adalah untuk memperkukuhkan kawalan di sepanjang rantaian pengeluaran makanan bagi memastikan keselamatan makanan di pasaran tempatan, import dan eksport adalah terjamin. 

Bagi peringkat pengilangan makanan pula, BKKM telah melaksanakan Skim Keselamatan Makanan 1Malaysia (SK1M) yang berjaya dilancarkan pada 8 November 2010 untuk membantu pihak industri terutamanya Enterprise Kecil dan Sederhana (EKS) mematuhi Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009. SK1M ini bertujuan untuk mentransformasi industri makanan terutamanya EKS supaya dapat meningkatkan tahap pematuhan dengan mengamalkan sistem jaminan keselamatan makanan. Ianya juga boleh dijadikan batu loncatan bagi industri EKS meneroka pasaran eksport di masa hadapan. 

BKKM juga melaporkan pendaftaran premis makanan sedang giat dijalankan seperti mana yang diwajibkan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 dan sehingga 5 Disember 2010, sebanyak 7014 premis telah berdaftar dengan KKM. KKM sekali lagi menggesa supaya pemilik premis makanan mendaftar segera dan tidak menunggu hingga ke saat akhir. 

Semua 82 buah kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di seluruh negara telah melaksanakan sistem penilaian KENDIRI yang telah diperkenalkan oleh BKKM. KENDIRI ialah program pemeriksaan sendiri (self inspection) dapur secara berterusan oleh pihak pengurusan kem PLKN dengan memberi tumpuan kepada faktor risiko kemungkinan sesuatu pencemaran makanan itu berlaku. 

Mesyuarat juga telah dimaklumkan sehingga 15 November 2010, terdapat 125 Sekolah Latihan Pengendali Makanan di seluruh negara dengan tenaga pengajar seramai 301 orang. Di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, setiap pengendali makanan diwajibkan menjalani latihan tersebut sekali seumur hidup. Adalah menjadi kesalahan di bawah peraturan tersebut sekiranya ia tidak dipatuhi dan jika disabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih dari RM10,000. Oleh itu, pihak KKM menyeru majikan pengendali makanan supaya memastikan pekerja mereka telah menghadiri latihan tersebut. 

Di antara isu penting yang dilaporkan semasa mesyuarat adalah Akta Makanan Haiwan 2009 telah dikuatkuasakan pada 1 Januari 2010 oleh Kementerian Pertanian dan Asas Tani (MOA). Sehingga kini, 12 cadangan draf peraturan-peraturan di bawah Akta Makanan Haiwan 2009 sedang dimuktamadkan. Dijangkakan awal tahun 2011, peraturan-peraturan ini dapat diwartakan dan dapat dikuatkuasakan. 

Isu penyembelihan ayam itik di pasar awam juga telah dibincangkan di mana Garis Panduan Pusat Penyembelihan Ayam/Itik dan Lain-lain Unggas telah disediakan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Sehingga kini, 58% (349) daripada 605 pasar di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan telah memberhentikan aktiviti penyembelihan ayam itik di pasar-pasar. Ini adalah bagi mengelakkan risiko penyakit zoonotik seperti Highly Pathogenic Avian Influenza (HPAI) dan Severe Acute Respiratory Syndrome (SARS). 

Mesyuarat juga turut dimaklumkan draf Peraturan-Peraturan Perikanan Darat (Akuakultur) sedang disediakan dan penting dalam mengawal ternakan akuakultur di peringkat ladang. 

Masalah berlebihan berat badan dan obesiti kian hangat dibincangkan di peringkat global. Dunia sedang dilanda pandemik obesiti. Berdasarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dianggarkan 400 juta orang dewasa adalah obes di seluruh dunia pada tahun 2005. Jika sesuatu tidak dilakukan, angka ini dijangka meningkat kepada 700 juta pada 2015. Laporan WHO 2010 menyatakan Malaysia berada di tangga keenam di antara negara-negara Asia yang mempunyai jumlah penduduk dewasa obes tertinggi. Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaaan (NHMS) III 2006 melaporkan 60% (7.4 juta) orang dewasa Malaysia berumur 18 tahun ke atas, mempunyai Indeks Jisim Tubuh (BMI) sama atau lebih daripada 23 (BMI ≥ 23). 

Prevalen berlebihan berat badan dan obesiti turut meningkat di kalangan kanak-kanak sekolah rendah dengan peningkatan daripada 20.7% pada 2001 ke 26.5% pada 2007. Di samping itu, masalah kekurangan mikronutrien seperti anemia dan kekurangan iodin masih wujud dalam masyarakat. Masalah pemakanan di Malaysia terutamanya obesiti, perlu ditangani segera bagi mengelaknya menjadi bertambah serius dan seterusnya mengurangkan produktiviti rakyat yang akan menjejas ekonomi negara. 

Pada tahun ini, KKM telah melakukan semakan semula ke atas Pelan Tindakan Pemakanan Kebangsaan Malaysia (NPANM) 2006 – 2015 bersama dengan wakil-wakil dari pelbagai kementerian dan agensi. Semakan ini bertujuan untuk memantap dan mengukuhkan pelaksanaan strategi dan aktiviti pemakanan melalui pendekatan multisektoral. Usaha ini akan memperkasakan rakyat di semua peringkat mengamalkan makan secara sihat di samping meningkatkan aktiviti fizikal. 

Bulan Pemakanan Malaysia diadakan pada bulan April setiap tahun semenjak 2002 dengan tujuan mempromosi amalan makan secara sihat dan gaya hidup aktif di kalangan masyarakat. Bulan ini dianjurkan oleh badan-badan profesional iaitu Persatuan Pemakanan Malaysia (Nutrition Society of Malaysia), Persatuan Kajian Obesiti Malaysia (Malaysian Association on Study of Obesity) dan Persatuan Dietitian Malaysia (Malaysia Dietetian Association) dengan usahasama KKM. Pada tahun 2011, Bulan Pemakanan Malaysia akan memberi fokus kepada kanak-kanak yang berumur di antara 7 hingga 12 tahun. Tema yang dipilih adalah “Kanak-kanak Sihat, Negara Lebih Sihat - Mulakan Awal”. Aktiviti-aktiviti yang akan dijalankan dijangka mendapat sambutan daripada pihak sekolah dan ibu bapa. Oleh itu, pihak KKM berharap aktiviti sambutan Bulan Pemakanan Malaysia pada tahun 2011 turut mendapat sokongan daripada semua agensi kerajaan dan bukan kerajaan terutamanya Kementerian Pelajaran Malaysia serta industri makanan dan minuman.

Mesyuarat juga telah membincangkan empat (4) kertas kerja berkaitan isu keselamatan makanan dan telah bersetuju ke atas perkara berikut: 

(i) Model Kolaborasi Kebangsaan bagi Keselamatan Makanan akan digunapakai di sektor makanan bagi memastikan keselamatan makanan di sepanjang rantaian pengeluaran makanan. Model kolaborasi ini adalah berdasarkan kepada model di mana BKKM sebagai Central Competent Authority dan Competent Authorities yang lain telah berjaya memulihkan pengeksportan ikan dan hasilan ikan ke negara EU dalam tempoh yang singkat. 

(ii) Kawalan ke atas Antimicrobial resistant organisms (AMR) atau ‘superbug’ dalam keselamatan makanan akan diperkukuhkan untuk melindungi kesihatan pengguna. AMR adalah mikroorganisma yang terbentuk disebabkan oleh penggunaan jangka panjang atau salahguna agen antimikrobial dalam perubatan veterinar yang mempunyai rintangan terhadap beberapa antibiotik. 

(iii) BKKM dengan sokongan agensi berkaitan akan terus menerajui aktiviti keselamatan makanan di peringkat antarabangsa seperti Codex Alimentarius Commission, badan subsidiari di bawah Food and Agriculture Organization (FAO)/World Health Organization (WHO) yang menetapkan standard makanan antarabangsa;International Food Safety Authorities Network (INFOSAN), badan subsidiari WHO yang bertanggungjawab ke atas jaringan penyebaran maklumat berkaitan isu-isu keselamatan makanan di peringkat antarabangsa; FAO; WHO; dan ASEAN. 

DATO’ SRI LIOW TIONG LAI 
MENTERI KESIHATAN MALAYSIA 



No comments:

Post a Comment